KUALA LUMPUR: Perhatian seluruh negara tertumpu kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat, hari ini.
KSP RMK12 disediakan bagi mengukur pencapaian sepanjang dua tahun pertama pada 2021-2022. Selain itu, ia akan mengetahui hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.
RMK-12 merupakan rancangan lima tahun (2021-2025) dibentang Kabinet terdahulu diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM400 bilion untuk projek pembangunan sedia ada dan baharu.
Ia adalah peruntukan kewangan terbesar negara yang pernah diluluskan. RMK11 sebelum ini berjumlah RM260 bilion.
Menurut aturan mesyuarat dan usul yang bermula pukul 10 pagi ini, ia diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen bermula esok, sebelum jawapan oleh kementerian yang berkaitan pada 18 dan 19 September ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, baru-baru ini dilaporkan berkata, KSP RMK12 perlu dinilai semula sepenuhnya disebabkan sifatnya yang ‘unik’ dan mempunyai dua situasi berlainan.
Katanya, perancangan dibuat Kabinet terdahulu sebelum pandemik Covid-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini sebagai rancangan baharu negara di bawah Kerajaan Perpaduan.
Apakah jangkaan sepanjang persidangan Dewan Rakyat hari ini? Sebelum agenda KSP RMK-12 diteruskan, antara adegan dijangka berlaku ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, akan memutuskan jika membenarkan notis usul Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Perikatan Nasional (PN).
Usul tersebut berhubung permintaannya supaya sidang Dewan Rakyat ditangguhkan bagi membolehkan kesemua ahli Dewan berbahas mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuahnya.
Ia juga menjadi antara tuntutan Parti Ikatan Demoratik Malaysia (Muda) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang terlebih dahulu menuntut supaya kes melibatkan Ahmad Zahid dibahas dalam sidang Parlimen tergempar.
Sekiranya berlaku, ini bakal ‘mengganggu’ perjalanan atau jadual aturan mesyuarat Dewan Rakyat. Dalam keadaan biasa, ahli-ahli Parlimen pembangkang akan bertindak keluar dewan sebagai tanda protes ekoran usul-usul yang ditolak.
Buktinya, pada 3 April lalu, Wan Ahmad Fayshal juga pernah mengemukakan usul mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, namun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menolak usul tersebut.
Anwar sebelum ini memberitahu kes Ahmad Zahid tidak boleh dibahas dalam Dewan Rakyat kerana platfrom Parlimen tidak boleh ditukar peranannya sebagai sebuah ‘mahkamah’.
Lebih menarik perhatian adalah bagaimana kerajaan pimpinan Anwar hanya mempunyai 147 sokongan Ahli Parlimen (sebelum ini 148 sokongan) setelah Presiden Muda merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Meskipun tidak bergabung dengan PN di blok pembangkang, Syed Saddiq berkata, Muda memberi fokus menjadi ‘kuasa ketiga’ di blok pembangkang dan memainkan semak dan imbang seperti yang sering dilaungkan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tahun lalu.
Katanya, penarikan sokongannya disebabkan langkah kerajaan pimpinan Anwar dilihat bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, khususnya berkait isu pelepasan tanpa pembebasan Ahmad Zahid daripada 47 kes pertuduhan di mahkamah.
Muda memutuskan demikian hanya enam hari selepas mengugut keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid.
Dengan kehilangan satu kerusi Parlimen, Anwar secara tidak langsung hilang keistimewaan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Rakyat sebelum ini bersidang pada 22 Mei hingga 15 Jun lalu sebelum ditangguhkan. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source