TAHUN 2006 merupakan detik bersejarah sepanjang pembabitan pelakon, Shaharuddin Thamby dalam dunia perfileman apabila beliau ditawarkan membintangi filem Bollywood, Don: The Chase Begins Again.
Berlakon disamping nama-nama besar seperti Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Kareena Kapoor dan Arjun Rampal, pembabitan tersebut memberikan pengalaman berharga yang tidak dapat ditukar ganti buat pelakon berusia 67 tahun ini.
Berkongsi cerita, Shaharuddin meluahkan rasa kesal kerana kesemua babak berdialog antara beliau dengan pelakon-pelakon tersebut dipotong dan langsung tidak ditayangkan dalam filem berkenaan.
“Sebenarnya saya lega kerana tidak saya terlalu mengwar-warkan pembabitan dalam filem tersebut. Saya tidak mengalami sebarang masalah ketika penggambaran dan layanan pihak produksi juga pada tahap memuaskan.
“Cuma saya terkilan apabila babak-babak berdialog dengan pelakon-pelakon itu dipotong.
“Ibaratnya, watak saya itu cuma bertaraf ekstra sahaja. Yang paling mengecewakan adalah babak-babak tersebut membabitkan pelakon-pelakon terkenal,” katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.
Filem yang diarahkan Farhan Akhtar itu turut menggunakan khidmat beberapa pelakon tempatan yang lain antaranya Tony Eusoff, Aman Shah, Ebi Aziz dan ramai lagi.
Manakala Shaharuddin dalam filem tersebut melakonkan watak Ketua Polis Negara (IGP).
Dalam masa yang sama, Shahruddin turut meluahkan kekecewaan beliau terhadap pakaian seragam yang disediakan pihak produksi yang tidak menggambarkan watak yang dilakonkannya dalam filem berkenaan.
“Isu pakaian seragam itu saya diamkan, kerana enggan menimbulkan masalah kepada pihak produksi.
“Tetapi saya agak berat hati kerana pakaian seragam yang diberikan tidak menggambarkan seorang pegawai polis berpangkat IGP, sebaliknya lebih kepada pegawai biasa.
“Ramai yang maklum, pakaian seorang IGP hakikatnya lengkap dengan lencana yang melambangkan tempoh perkhidmatan.
“Memang isu itu agak mengganggu saya, tetapi saya ikut sahaja susun atur pihak produksi,” katanya tertawa.
Kongsi pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu lagi, meskipun berdepan beberapa ketidakpuasan hati, dia tetap menerima layanan baik sebagai salah seorang pelakon filem itu.
“Mungkin ada beberapa bahagian yang bermasalah, tapi secara keseluruhannya saya seronok berlakon dalam filem tersebut. Pengarah dan pelakon yang lain profesional dalam menjalankan kerja mereka.
“Malah pembabitan dalam filem ini membuka mata terhadap cara pembikin filem Bollywood bekerja. Sebelum penggambaran di Malaysia, saya diterbangkan ke India untuk penggambaran di sana.
“Ketika itu saya melihat sendiri kru penggambaran yang jumlahnya tiga kali ganda berbanding di Malaysia. Pertama kali saya melihat penggambaran yang membabitkan terlalu ramai kru.
“Di sana, banyak kemudahan yang diberikan kepada saya antaranya campervan persendirian, penginapan dan makan minum yang semuanya ditanggung sepenuhnya,” jelasnya.
Shaharuddin dalam pada itu memaklumkan sempat merakamkan kenangan bersama pelakon bergelar Raja Bollywood itu.
“Sebenarnya kami tidak dibenarkan untuk bercampur dengan pelakon-pelakon lain, sebaliknya hanya diminta menunggu dalam campervan masing-masing dan hanya memulakan penggambaran apabila tiba giliran kami.
“Tapi saya sempat meminta bantuan pengawal peribadi Shah Rukh Khan untuk membolehkan saya mengabadikan kenangan dengan pelakon itu. Dia tidaklah sombong, cuma kami tak berkesempatan berbual” kongsinya.
BERGURU DENGAN MUSTAFA NOOR
Saya mengajak pelakon ini berkongsi cerita mengenai zaman mudanya yang mana beliau membesar di Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama lapan adik beradik yang lain.
Kata Shaharuddin, sejak kecil beliau sudah mengenal erti berdikari kerana sering membantu bapanya berniaga makanan.
“Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab membantu ayah berniaga. Sebaik sahaja tamat waktu persekolahan saya akan menemaninya menjual makanan.
“Sehinggalah saya meningkat dewasa dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pemaju hartanah. Di sebelah pagi saya akan ke pejabat, manakala ke sebelah malam membantu ayah berniaga.
“Keluarga kami bukan orang senang, tetapi tidak juga terlalu susah. Hidup bersederhana sahaja,” kongsinya.
Keinginan untuk menjadi pelakon sebenarnya sudah tertanam dalam diri Shaharuddin sejak beliau dibangku sekolah lagi.
Namun, minatnya itu diteruskan secara serius ketika di usia 20-an apabila beliau berpeluang menyertai bengkel lakonan yang dikelolakan pelakon bertaraf legenda, Mustafa Noor.
“Dahulu bukan semua berpeluang mengikuti bengkel lakonan, apatah lagi dianjurkan pelakon-pelakon berpengalaman. Mereka yang memohon akan dinilai kelayakan dan komitmen terhadap program yang dianjurkan.
“Saya pernah ditanya Mustafa, yang mana menjadi pilihan saya, bidang lakonan atau menjadi kerani? Soal beliau adakah saya sanggup meninggalkan kerja kerani demi lakonan? Disebabkan itu saya tinggalkan kerja hakiki dan teruskan menjadi pelakon,” katanya.
Pembabitan awal Shaharuddin dalam dunia lakonan adalah menerusi drama Berteduh Disebalik Wajahmu pada tahun 1989, kemudian beliau menghadiri uji bakat dan terpilih untuk watak kecil menerusi filem Mekanik arahan Othman Hafsham.
Namun drama yang benar-benar mengangkat beliau adalah Kebangkitan yang juga diterbitkan pada tahun yang sama.
“Menerusi drama tersebut saya dinobatkan Pelakon Drama TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa yang dianjurkan pada tahun tersebut. Kemenangan itu mendatangkan rezeki apabila banyak tawaran berlakon datang selepasnya,” jelasnya.
MATINYA SEORANG PAHLAWAN
Shaharuddin pada tahun 1992 pernah dipilih bersama Eman Manan, Sabri Yunus dan Kuza untuk mementaskan naskhah agung Datuk Usman Awang di sebuah universiti terkemuka di London.
Berkongsi pengalaman, kata beliau antara perkara menarik yang mahu diceritakan adalah insiden mencemaskan keris terbang yang hampir menusuk pelakon, Kuza.
“Kami membuat persiapan selama dua bulan sebelum mementaskannya di University of London. Bayangkan, saya perlu mempelajari asas silat dalam tempoh satu bulan untuk teater tersebut.
“Pementasan itu ditonton oleh masyarakat berbilang bangsa yang ada antaranya merupakan orang Afrika, Cina dan Inggeris. Meskipun dialog yang diutarakan dalam bahasa Melayu, penonton tidak ada masalah untuk mengikuti jalan ceritanya.
“Saya melakonkan watak Hang Jebat, manakala Eman sebagai Hang Tuah. Berlaku insiden mencemaskan apabila keris asli yang saya gunakan untuk pementasan itu hampir menusuk Kuza apabila senjata itu terpelanting selepas saya menghunusnya.
“Namun tiada perkara yang tidak diingini berlaku, cuma lakonan kami terpaksa diubah sedikit untuk memastikan keris itu kembali berada di tangan saya,” kongsinya.
TENANG HIDUP SOLO
Tahun 2013 menjadi titik paling menduga buat Shaharuddin apabila mahligai yang dibina lebih tiga dekad bersama isteri, Nor’aini Muhammad menemui pengakhirannya apabila keduanya memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.
Lebih sedekad bergelar duda, Shaharuddin menjalani kehidupan tenang dan tidak pernah kesunyian dengan kehadiran anak-anak dan cucu-cucunya.
“Sudah agak lama saya dan bekas isteri berpisah, tapi hubungan kami kekal baik sampai ke hari ini. Bagi saya, perkahwinan terdahulu adalah khazanah yang akan kekal selamanya menapak dalam ingatan saya.
“Saya memutuskan untuk kekal baik dengan bekas isteri bukan sahaja demi anak-anak, tetapi juga kerana saya memikirkan sebagai manusia, kami perlu ada ihsan dan belas kasihan,” katanya.
Dalam pada itu, Shaharuddin tidak menafikan ada wanita yang ingin mendekatinya meskipun usianya kini sudah memasuki 67 tahun.
“Dalam hal ini saya ambil jalan tengah, tidaklah membuka ruang untuk bercinta atau apa. Pada usia sebegini, tidak sesuai untuk semua itu. Saya tak mahu dipandang serong masyarakat. Jadi, saya lebih selesa hidup solo dan tidak langsung rasa kesunyian,” jelasnya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source