Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memacu daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga Malaysia selepas pengumuman prestasi kewangan yang kukuh dan cemerlang bagi tahun 2024.
“Komitmen kami melangkaui pembekalan elektrik, kami menerangi masa depan Malaysia,” kata Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid.
“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja tertumpu kepada kelangsungan kewangan tetapi untuk memastikan kejayaan TNB dipulangkan kepada negara, melalui sokongan melalui dana pencen, pertumbuhan ekonomi dan akses tenaga yang lebih mampu milik untuk rakyat,” tambahnya lagi.
Sambungan Elektrik Manfaat Penduduk Luar Bandar
Program Lampu Jalan Kampung yang dilancarkan pada tahun 2000 telah memanfaatkan penduduk luar bandar dengan pemasangan lebih 525,000 lampu jalan. Di bawah Fasa 11 bermula 2024, sebanyak 14,210 lampu LED cekap tenaga telah dipasang, dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Peningkatan keselamatan dan kesalinghubungan di kampung-kampung terbabit ini telah menggalakkan aktiviti ekonomi dan memacu kemajuan negara yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, 60 peratus daripada keuntungan TNB ini diagihkan dalam bentuk dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan TNB.
Ini memberi jaringan keselamatan kewangan yang lebih besar kepada pesara dan rakyat Malaysia, di samping menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang.
TNB juga giat memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak nyata kepada rakyat Malaysia, merangkumi empat teras utama iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini termasuk memperluaskan projek pembekalan elektrik (elektrifikasi) di kawasan luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran, serta membiayai projek lestari berasaskan komuniti,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan.
Menjamin Elektrik Mampu Milik & Stabil Untuk Semua Rakyat Malaysia
Menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat jika keuntungan TNB akan mempengaruhi kadar tarif elektrik.
Tidak perlu khuatir, kerana TNB memberi jaminan bahawa tarif dikawal oleh kerajaan dan TIDAK berkait dengan keuntungan TNB.
Pelaburan semula dalam kecekapan grid membantu mengekalkan kadar tarif yang berpatutan dan menghindari sebarang peningkatan yang tidak munasabah serta melaksanakan program yang mengutamakan rakyat seperti insentif solar dan tarif mengikut masa penggunaan yang membantu mengurangkan bil elektrik.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan
“Kami memahami bahawa rakyat Malaysia mahukan kesaksamaan dan ketelusan. Komitmen kami jelas, keuntungan tidak diambil begitu sahaja, tetapi dikembalikan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih baik, tarif yang stabil dan jaminan bekalan tenaga jangka panjang,” tambah Datuk Ir. Megat Jalaluddin.
Pertumbuhan Mampan Beri Keuntungan Kepada Rakyat Malaysia
Prestasi kewangan yang kukuh membolehkan TNB melabur semula dalam infrastruktur negara, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperluaskan akses kepada tenaga bersih yang mampu milik bagi kediaman serta perniagaan, sekaligus memperkukuh pertumbuhan mampan Malaysia.
“Apabila TNB maju, Malaysia juga makmur. Ini bukan semata-mata mengenai keuntungan tetapi memastikan masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada bekalan tenaga yang mampan, berpatutan dan berdaya harap,” kata Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan.
Menjana Malaysia yang Lebih Hijau dan Lestari
Ketika Malaysia beralih ke tenaga yang lebih bersih pada masa hadapan, TNB menerajui usaha kelestarian dengan melabur dalam tenaga boleh baharu seperti solar, hidro dan hidrogen hijau, memodenkan grid nasional untuk kecekapan, kebolehpercayaan dan integrasi tenaga hijau serta membiayai penyelesaian tenaga pintar bagi membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara berkesan.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid
“Kelestarian bukan sekadar matlamat, ia adalah tanggungjawab kita kepada generasi akan datang. TNB komited menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses, mampu milik dan bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia,” kata Tan Sri Abdul Razak.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, bil elektrik 85 peratus rakyat Malaysia yang menerima subsidi akan dilabelkan hijau, melambangkan visi kerajaan MADANI yang bukan sahaja melindungi kesejahteraan rakyat tetapi juga menekankan kemampanan tenaga.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang manfaat yang diberikan oleh kerajaan.
Membina Masa Depan untuk Semua
Misi TNB adalah jelas: “memacu kemajuan negara sambil memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada kejayaannya.” Melalui pelaburan strategik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan komitmen teguh kepada rakyat, TNB kekal sebagai rakan tenaga utama Malaysia.
“Setiap lampu yang kita nyalakan, setiap perniagaan yang kita sokong, setiap rumah yang kita bekalkan tenaga itulah erti sebenar pembangunan negara. Kami di sini sedia berkhidmat dan menerangi masa depan Malaysia bersama,” kata Datuk Ir. Megat Jalaluddin
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source