PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk memberi subsidi atau biasiswa pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajar ke peringkat lebih tinggi di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) selepas tercicir daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, ini kerana kualiti pengajian di IPTA dan IPTS tidak mempunyai sebarang jurang, malah ada IPTS yang menawarkan kualiti lebih baik lagi.
Bagaimanapun, katanya, apa yang membezakan kedua-dua institut pengajian tinggi itu adalah kadar yuran yang perlu dibayar oleh pelajar.
“Salah satu sebab ramai terutamanya pelajar cemerlang mahu masuk ke IPTA adalah kerana kadar yuran yang rendah. Ini kerana sebahagian besar yuran pengajian disubsidi oleh kerajaan, jadi jumlah yuran yang perlu dibayar itu tidak setinggi di IPTS.
“Tetapi, sudah sampai masanya kerajaan melihat IPTS sebagai pelengkap kepada IPTA, jadi kalau pelajar cemerlang dan berkelayakan tidak dapat tempat di IPTA, maka kerajaan boleh beri peruntukkan dalam bentuk penajaan atau subsidi untuk mereka sambung di IPTS.
“Walaupun mereka belajar di IPTS, mungkin kadar yuran pengajian sama seperti di IPTA, jadi kerajaan bayar kepada IPTS dan (saranan) ini sama seperti peruntukkan kepada IPTA.
“Namun, bagi pelajar yang mungkin tidak cemerlang, maka perlu ikut jalur biasa dan tidak dapat subsidi atau bantuan daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pelajar cemerlang bumiputera dan bukan bumiputera yang tercicir ke IPTA diberikan peluang ke IPTS dengan bantuan biasiswa.
Ia susulan sejak kebelakangan ini timbul isu berkenaan kouta bumiputera di IPTA memandangkan ada pihak mahu ia dikaji semula.
Antara isu dibangkitkan ada mendakwa wujud pelajar cemerlang bukan bumiputera tercicir ke IPTA, manakala golongan yang mempertahankan sistem kuota pula menyatakan terdapat anak bumiputera pun sama tidak dapat masuk ke IPTA.
Pada masa sama, kerajaan berpendapat sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu akan tempang atau tidak seimbang sekiranya sistem itu tidak dikekalkan.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, polisi itu jika dilaksanakan merupakan satu langkah yang mampan kerana kerajaan juga tidak perlu mewujudkan kampus atau universiti tambahan untuk menambah kuota atau tempat.
Malah, katanya, kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan pembangunan untuk menaik taraf IPTA sedia ada kerana IPTS sudah tersedia.
“Langkah ini dapat bantu pelajar cemerlang mendapat tempat dengan insentif subsidi dan pada masa sama IPTS pun dapat bilangan pelajar yang ramai,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Presiden Persatuan Akademik Universiti Awam (MPPA), Dr. Mazlan Che Soh berpandangan, situasi yang ada pada ketika ini mungkin sudah memadai.
Katanya, ini kerana sekiranya biasiswa kerajaan dibuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTS, ia dikhuatiri menjejaskan objektif awal biasiswa yang ditawarkan.
“Pelajar IPTS juga bukannya tidak ada ruang untuk dapatkan biasiswa, tetapi banyak juga yang disediakan pihak swasta dan agensi yang bukan sepenuhnya daripada kerajaan.
“Kalau boleh jangan usik sebab ia berkaitan ekosistem. Misalnya isu kuota, ekosistem yang disediakan adalah untuk seimbangkan golongan bumiputera mendapat pendidikan terbaik apabila dikatakan masih lagi ketinggalan dalam pendidikan dan kewangan,” ujarnya.
Justeru, katanya, beliau percaya pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTS sudah tentu boleh mendapat tajaan sekiranya mereka betul-betul cemerlang.
“Selain itu, kena ingat, untuk dapatkan tajaan ketika ini sangat berdaya saing yang bukan sahaja bergantung kepada akademik semata-mata. Kebanyakan penaja ada banyak kriteria yang mahu mereka beri perhatian.
“Jadi, tidak semestinya cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah tentu boleh dapat (tajaan) sebab itu sebahagian daripada merit, tetapi aspek lain seperti kemahiran komunikasi dan pada temu duga nanti akan kenal pasti sama ada mereka layak atau tidak dapat tajaan,” katanya. -UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source