Mukadimah
MENERUSKAN legasi sifunya. Itulah tekad calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, SUHAIZAN KAYAT, 50, yang diberi kepercayaan
bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Di atas kertas, beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Namun, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ini tidak mahu mengambil mudah cabaran lawannya dengan berusaha gigih berkempen bagi mendapatkan sokongan daripada kira-kira 167,000 pengundi di Parlimen Pulai.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH dan dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI, beliau berkongsi aspirasi dan visi bagi meningkatkan lagi keselesaan penduduk di kawasan tersebut.
UTUSAN: PRK ini berbeza berbanding PRU dan PRN, apa perbezaan dan cabarannya, apatah lagi pernah bertanding enam kali sebelum ini?
SUHAIZAN: Saya lihat PRK kali ini cukup unik kerana sebelum ini kami bergerak dalam PH sahaja tetapi kali ini kita bergerak dengan BN untuk kali pertama. Kita bergerak dari PDM ke PDM dan cawangan ke cawangan UMNO. Perbezaan amat ketara tetapi kali ini lebih meyakinkan.
Dari segi cabaran, ada dua, yang pertama untuk meyakinkan pengundi PH supaya keluar mengundi kerana ada sebahagian berasa tidak penting untuk mengundi dalam PRK ini. Kedua cabaran bagi pengundi BN-UMNO untuk diyakinkan dan apakah justifikasi PH-BN bergabung dan isu berkaitan seperti isu DAP dan Islam terancam.
Setelah beberapa hari berkempen, bagaimana respons rakyat terhadap kempen PH?
Dengan pengundi PH, saya jelaskan kita akan teruskan legasi dan perancangan yang telah dibuat oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Tapi dengan pengundi UMNO ini, kita dah lepas satu halangan. Ini (awalnya) susah nak lepas, apakah mereka boleh terima saya.
Tapi perkara ini sudah selesai. MB (Menteri Besar) (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dah yakinkan mereka bahawa calon PH ini pernah berjasa kepada kerajaan BN semasa saya jadi Speaker DUN Johor, selepas Datuk Dr. Sahruddin Jamal hingga semasa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad jadi MB walaupun kerajaan perpaduan belum terbentuk lagi pada ketika itu. Yang itu saya sudah lepas halangan tersebut dan langkah seterusnya yakinkan mereka kenapa perlu beri undi kepada calon PH pada PRK ini.
Sebelum ini ada beberapa kain rentang kononnya digantung oleh ahli UMNO yang meminta tidak memberikan undi kepada calon PH. Sejauh mana kesannya?
Saya tak nampak itu satu cabaran dan tidak menjejaskan sokongan. Ini kerana UMNO sendiri buat kenyataan bukan ahli UMNO yang buat. Apabila dipotong dan dibuang tidak ada siapa yang bantah dan pertahankan. Malah, yang buang adalah ahli UMNO. Perkara itu hanyalah propaganda pihak luar.
Sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Pulai, apakah visi untuk kawasan ini?
Yang pertama, saya akan teruskan legasi Allahyarham. Seterusnya, saya akan beri tumpuan terhadap isu perumahan seperti penduduk tidak ada rumah, rumah mahal dan tidak selasa. Di sini juga banyak PPR dan isu yang berkaitan dengannya seperti lif rosak, tangki air, sampah dan lain-lain yang perlu diselesaikan.
Buktinya, pagi tadi saya berjoging di kawasan berhampiran empangan di Taman Johor. Saya tengok, pagar roboh, tumbang, pokok tumbang atas trek, tepi semak, sampah banyak dan trek pecah. Saya hubungi Datuk Bandar minta tolong semak, rupanya, itu di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun Datuk Bandar akan bantu demi keselesaan penduduk.
Selain itu, saya akan beri tumpuan isu pendidikan. Apabila di kawasan bandar, ada sebahagian anak-anak yang keciciran dan terabai. Kita akan usaha bantu untuk tingkatkan kualiti mereka, jika tidak dapat lanjut pengajian, sekurang-kurangnya mereka dapat sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
Isu peluang pekerjaan juga akan saya beri tumpuan. Isu ini kita akan bawa ke peringkat negeri dan Persekutuan. Memang ada pekerjaan, tetapi gaji rendah, mereka tidak dapat sara keluaga dan ada antara mereka bekerja di Singapura. Mereka terpaksa, kalau ada peluang pekerjaan yang lebih baik, mereka nak bekerja di sini.
Selain itu, saya juga akan beri penekanan terhadap pembangunan insan. Di sini banyak PPR dan kita mahu kawasan ini selesa diduduki oleh semua lapisan masyarakat. Contohnya, untuk umat Islam, masjid dan surau boleh buat kuliah, ada aktiviti untuk masyarakat.
Jadi, semua ini saya akan rangkumkan dalam satu blueprint untuk atasi masalah yang wujud di Parlimen Pulai ini. Kita nak masyarakat selesa duduk di sini. Rumah di sini padat, tapi mereka kata terpaksa duduk di sini kerana anak-anak kerja di sini.
Hakikatnya, mereka tak selesa. Jadi menerusi blueprint ini, kita nak mereka duduk di sini dalam keadaan yang selesa. Dengan erti kata lain, di sini infrastrukturnya baik, persekitaran dan kemudahan yang baik serta komuniti yang bersatu-padu. Kita akan tengok bidang kuasa siapa, sama ada kerajaan negeri atau Persekutuan.
Apa pesanan kepada semua pengundi pada 9 September ini?
PRK ini penting dan jika tidak menang dengan majoriti meyakinkan, ada yang akan kata bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan tidak dapat sokongan. Apatah lagi jika kalah. Justeru, penyokong PH perlu ingat, jika Pulai tidak dapat menjayakannya, ia akan mengurangkan sokongan dalam Parlimen, kerajaan tidak dapat sokongan dua pertiga. Jadi, keluarlah mengundi pada 9 September ini. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source