Baru-baru ini, timbul persoalan di parlimen mengenai sebab Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjual 33% pegangan saham Boustead Plantations Bhd (BPlant) kepada syarikat swasta, iaitu Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa keputusan ini amat membimbangkan kerana ia bakal melepaskan 221,000 ekar tanah yang berpotensi tinggi ke tangan bukan Bumiputera. Betul ke?
Sebelum kita terokai sebab penjualan saham ni, jom kita fahami dulu apa fungsi LTAT dan BPlants.
LTAT ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia
LTAT adalah sebuah badan berkanun yang diselia oleh Kementerian Pertahanan. Fungsi utamanya adalah untuk menguruskan dana pencen bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia. Selain itu, LTAT juga memegang saham dalam beberapa syarikat tersenarai awam di Malaysia, termasuk Boustead Holdings. Boustead Plantations Bhd (BPlant) pula adalah salah satu anak syarikat tersenarai di bawah Boustead Holdings Berhad.
Dalam tugas mereka untuk menjaga kebajikan jangka panjang anggota Angkatan Tentera Malaysia, LTAT bertanggungjawab untuk memastikan pelaburan mereka membuahkan keuntungan agar ahli-ahli mereka mendapat dividen tahunan. Setiap tahun, LTAT akan mengumumkan kadar dividen yang diberikan, dan senang cerita, kadar dividen mereka sejak tahun 2018 adalah sangat rendah.
Pada tahun 2019, LTAT menjelaskan dividen rendah tersebut adalah disebabkan pengiraan prestasi kewangan sebelum ini tidak mengunapakai garis panduan perakaunan yang tepat, malah turut mengambil kira penjualan tanah berjumlah RM202.71 juta sebagai pendapatan pada 2017.
Bagi mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi, dana simpanan dan persaraan seperti LTAT perlu melabur sebahagian besar dananya di dalam aset mudah cair, dan bukannya dengan memiliki pegangan yang besar dalam aset tidak mudah cair dalam syarikat perniagaan.
Disebabkan pendekatan yang diambil sejak dulu lagi, LTAT mempunyai hanya sekitar 22.5% aset mudah cair, dimana 40% daripada dana tersebut dilabur dalam syarikat-syarikat berkaitan Boustead. Ini bermakna hampir 80% dana persaraan LTAT dilaburkan ke dalam aset tidak mudah cair.
Perkara ini memberi risiko sekiranya aset yang tidak mudah cair itu jatuh di bawah nilai kos pelaburan, lalu mengheret kerugian yang bakal dialami LTAT. Kerugian ini juga seterusnya bakal menjejaskan nilai simpanan pencarum, dan memberi kesan negatif terhadap dividen yang mampu mereka kais.
Habis Tu, Kenapa Nak Jual Saham?
Boustead Plantation (BPlant) adalah salah satu pelaburan aset tidak mudah cair yang diusahakan oleh LTAT. Dalam masa yang sama, BPlant juga mempunyai hasil kelapa sawit antara yang terendah dalam industri. Harga kos setiap pesanan atau Cost Per Order (CPO) price perlu mencapai tahap minima RM3,200 untuk syarikat mencatatkan keuntungan. Dan sama seperti keuntungan tahun-tahun sebelum 2018, keuntungan tahun lepas hanya dicapai disebabkan penjualan aset ladang. Hal ini adalah kerana 50% daripada ladang BPlant telah mencapai usia lebih 20 tahun dan sudah tiada hasil yang memberi pulangan memberangsangkan.
Dalam masa yang sama, BPlant juga tidak mampu mengusahakan penanaman semula sawit kerana hutang yang sedia ada mencecah RM7 bilion. Urusan penanaman semula sawit akan melibatkan kos sebanyak RM 600 juta, dan Boustead sudah tidak mempunyai keupayaan lagi untuk meminjam akibat hutang yang tinggi.
Selain itu, Boustead juga telah menerbitkan hutang sejumlah RM2.2 bilion (IMTN dan Perpetual Sukuk) yang perlu dibayar tahun depan. Sekiranya hutang-hutang ini gagal dibayar menjelang tahun depan, RM3.3 bilion dana pencen di LTAT bakal mengalami kemerosotan nilai akibat kesan berangkai daripada hutang yang gagal dibayar. Sekiranya dana RM3.3 bilion ini terhapus daripada LTAT, senario paling membimbangkan adalah LTAT tidak akan berupaya membayar dividen kepada tentera selama 8 tahun berturut.
Oleh itu, LTAT kini mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan KLK bagi membolehkan BPlant mendapat modal baharu untuk menanam semula 50% ladang kelapa sawit.
Betul ke LTAT jual tanah hak milik Bumiputera?
Sebenarnya, LTAT bukanlah menjual tanah kepada KLK, tetapi menjual pegangan saham sebanyak 33%. Sekiranya penjualan saham ini berlaku pada suku terakhir 2023 seperti dalam perancangan, Boustead masih memiliki saham yang terbesar dalam syarikat ladang kelapa sawitnya.
Sementara itu aset-aset perniagaan lain dibawah LTAT dan Boustead seperti Affin Bank, Pharmaniaga, Boustead Properties, Boustead Defence dan BH Petrol masih dipegang dan akan terus kekal di bawah LTAT.
Hasil penjualan saham ini, Boustead akan menerima RM1.15 bilion untuk membolehkan mereka membayar sebahagian daripada hutang berjumlah RM2.2 bilion pada tahun depan, sekaligus menyelamatkan LTAT dan caruman anggota tentera mereka.
Selain itu, KLK yang juga dimiliki 20% oleh KWSP dan PNB, serta 40% oleh pemegang saham awam, bakal memberikan LTAT & Boustead hak untuk membangunkan dua ladang estet seluas 1800 ekar dengan nilai Gross Development Value (GDV) berjumlah RM8 bilion. Hal ini dijangka akan memberi impak kewangan berganda yang positif kepada LTAT dan Boustead.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source