Fikiran kita boleh jadi serabut apabila banyak perkara yang difikiran dan perlu diuruskan sekaligus. Tapi sebenarnya, anda boleh elakkan dari menyerabutkan fikiran dengan mengamalkan tujuh perkara di bawah. Kenapa saya gunakan perkataan ‘elak daripada menyerabutkan fikiran’? Kerana ia benda yang boleh dikawal oleh diri kita sendiri.
1- Terima Realiti Hidup Sekarang
Terima realiti hidup dan jangan meratap-ratap mahupun berkeluh-kesah dengan perkara yang tidak ada. Berkeluh-kesah dengan apa yang tidak ada hanya akan menjemput rasa tidak bersyukur. Jika gaji sebanyak itu, maka sesuaikan cara hidup dan kehendak dengan jumlah tersebut. Fahamkan juga ahli keluarga, pasangan atau ibu bapa tentang kemampuan hidup sekarang hanya setakat itu sahaja.
Terima realiti hidup tidak sama dengan pasrah, tetapi kita berpijak pada realiti dan kenyataan sekarang, dalam masa sama terus berusaha meningkatkan mutu kehidupan.
2- Jangan Mudah Percaya Dengan Perkara Yang Anda Dengar, Lihat Atau Rasa
Tak semua perkara yang anda dengar dan lihat itu betul, bahkan hal yang anda rasa dan fikirkan juga tak semestinya betul. Beri ruang kepada diri untuk bertenang dan mencari kefahaman yang sebenar tentang suatu perkara. Hal begini boleh mengelak fikiran anda menjadi serabut dengan berfikir hal yang belum pasti. Apa yang kita rasa, fikir, dengar dan lihat akan mempengaruhi tindakan, jadi tapis dengan baik apa yang anda rasa, fikir, dengar dan lihat.
3- Kawal Perkara Yang Boleh Dikawal Sahaja
Kawal perkara yang boleh dikawal sahaja contohnya sikap sendiri, usaha sendiri, cara kita menguruskan kerja, keluarga dan lain-lain. Jangan menyerabutkan kepala dengan perkara yang tidak boleh dikawal seperti pandangan dan sikap orang.
Lepaskan perkara yang tak boleh dikawal. Pandangan orang terhadap kita bukan tanggungjawab kita. Tanggungjawab kita hanya menjaga sikap dan kata-kata sendiri sahaja.
4- Belajar Menunggu
Banyak perkara dalam hidup ini memerlukan proses dan tempoh menunggu. Orang yang memulakan perniagaan tidak akan senang sekelip mata, mereka perlu berusaha dan menunggu. Orang yang sedang belajar juga perlu menunggu sebelum memperoleh segulung sijil. Untuk beli kereta dan rumah pun, kita perlu menunggu hingga kewangan benar-benar stabil, bukan naik gaji sahaja terus selera pun jadi besar.
Pendek kata, menunggu bukan perkara yang buruk. Usah terperangkap dengan instant gratification (ganjaran segera) yang banyak dipaparkan di media sosial hari ini. Apabila kita sudah faham bahawa banyak perkara perlu menunggu, maka fikiran juga tidak akan cepat serabut memikirkan perkara yang kita belum dapat.
5- Jangan Peningkan Kepala Dengan Hal Yang Tidak Berkaitan Anda
Lihat kehidupan seharian kita, berapa banyak masa dihabiskan dengan mengambil tahu kisah kehidupan orang lain – hal rumah tangga orang, perceraian orang, perbalahan orang, gaji orang, harta orang dan segala macam hal yang tidak berkaitan dengan anda.
Adakah hal ini mendatangkan manfaat pada kehidupan sendiri? Jika jawapannya tidak bahkan lebih banyak keburukan, maka jauhkanlah dari memeningkan kepala dengan hal-hal begini. Silap hari bulan, hubungan anda dengan pasangan pula boleh jadi keruh apabila perbualan tentang hidup orang lain bertukar menjadi perselisihan kerana pandangan yang berbeza.
6- Jangan Menagih Kebahagian Dan Kegembiraan Dari Sesiapa, Anda Boleh Menciptanya Sendiri
Orang yang menagih kebahagiaan dan kegembiraan adalah orang yang hanya melihat perbuatan orang lain yang kena dengan kehendaknya sahaja yang boleh buat dia bahagia. Kita bahagia apabila pasangan kita buat begini dan begitu. Kita tak gembira disebabkan rakan buat begini dan begitu. Dalam tak sedar, kita meletakkan kegembiraan dan kebahagian bergantung kepada orang lain bukan diri sendiri. Jadi, apabila mereka tak melakukan seperti yang kita harapkan, kita jadi tak gembira dan bahagia.
Kegembiraan dan kebahagian sebenarnya boleh diusahakan oleh diri sendiri. Tanya diri semula, apa yang boleh membuatkan diri anda bahagia tanpa melibatkan orang lain. Adakah anda gembira apabila anda boleh memasak hidangan yang sihat? Adakah anda gembira apabila boleh belanja pasangan sekali-sekala? Adakah anda gembira jika rumah dalam keadaan kemas?
Jika sesekali anda perlukan bantuan orang untuk merealisasikannya, itu tidak mengapa, kerana ia bukan kebergantungan, ia hanya bantuan, jadi bezakannya.
7- Jangan Mudah Terasa, Tidak Semua Perkara Perlu Diambil Serius
Ada akan mudah rasa serabut apabila mudah terasa hati. Kadang-kadang orang tidak berniat pun hendak menyakiti hati kita, atau kata-katanya hanya sekadar di bibir sahaja, tetapi kerana kita mengambilnya serius, hati mudah terasa, dan fikiran jadi tidak tenang.
Bezakan antara gurauan, cakap-cakap kosong, nasihat yang baik, kritikan yang membina atau kritikan yang menjatuhkan. Tidak semua perkara ini perlu diambil serius, ambillah yang perlu sahaja. Tidak semua perkara perlu dianggap sebagai serangan peribadi buat diri. Belajar untuk tidak mempedulikan kata-kata orang seandainya ia tidak beri manfaat buat diri kita.
Kesimpulannya, fikiran jadi serabut bukan kerana orang lain. Kadang-kadang kerana tindakan yang kita pilih dan lakukan sendiri. Keserabutan fikiran boleh dikurangkan apabila kita lakukan perkara di atas, InsyaAllah.
TZKRH
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source