KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim selamat melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini semalam.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam istiadat itu juga, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Sultan Nazrin Shah pernah berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong apabila Sultan Muhammad V menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 2016.
Baginda mengekalkan peranan itu apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.
Pada upacara penuh adat istiadat di Istana Negara semalam, Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz serta menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Sementara itu, Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil, memelihara dan mempertahankan kesucian agama Islam, keamanan serta kesejahteraan rakyat.
“Kami, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan ‘Wallahi, Wabillahi,
Watallahi’.
“Maka dengan lafaz ini, berikrarlah kami dengan sesungguh dan sebenarnya mengaku akan taat setia menjalankan dengan adilnya bagi pemerintahan Malaysia mengikut sebagai mana undang-undang dan Perlembagaan yang disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.
“Kami berikrar dan mengaku dengan sesungguhnya dan sebenarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri,” titah Seri Paduka Baginda pada istiadat itu.
Surat Sumpah Jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai saksi.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim menandatangani Surat Perisytiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pukul 7.45 pagi sebelum berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara tepat pukul 9 pagi.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pukul 9.45 pagi.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.
Sultan Ibrahim kemudian berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lalu yang turut memilih Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 kelmarin.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, kerajaan mendukung sepenuhnya titah baginda sebelum ini yang ingin melihat negara ini meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi yang mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat.
“Ini juga merupakan hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source