PUTRAJAYA – Bilangan penganggur menurun kepada 580,700 orang pada tahun lepas, merekodkan bilangan penganggur paling rendah sejak pandemik Covid-19 dengan kadar penganggur 3.4 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, menerusi Sorotan Pasaran Buruh Suku Keempat 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencerminkan perkembangan ekonomi yang bertambah baik sepanjang suku tahun tersebut, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.6 mata peratus tahun ke tahun, mengekalkan kadar tertinggi iaitu 70.1 peratus berbanding suku sebelumnya.
Katanya, bilangan tenaga buruh bertambah 2.2 peratus untuk merekodkan 16.91 juta orang pada suku tahun (ST) keempat 2023, terutamanya didorong oleh kenaikan 2.5 peratus dalam penduduk bekerja, yang merangkumi 16.35 juta orang.
“Sebaliknya, bilangan penganggur berkurang 5.9 peratus kepada 565,000 orang, menjadikan kadar pengangguran negara pada 3.3 peratus, menunjukkan hampir kembali ke paras prapandemik (ST4 2022: 3.6 peratus, ST4 2019: 3.2 peratus).” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Uzir, permintaan dalam negeri yang lebih tinggi telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kepada industri, menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran yang disebabkan oleh pengembangan ekonomi hampir kesemua sektor.
“Hal ini demikian menyumbang kepada permintaan buruh yang lebih kukuh meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar.
“Oleh itu, ekonomi Malaysia berkembang 3.0 peratus pada suku keempat 2023, lebih rendah daripada pertumbuhan 3.3 peratus pada suku sebelumnya,” ujarnya.
Mengulas kepada situasi guna tenaga tidak penuh, beliau menyatakan, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan pertambahan 6.6 peratus berbanding suku yang sama pada tahun 2022, dengan sejumlah 286,100 orang.
“Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 8.5 peratus kepada 181,600 orang, dengan kadar 1.1 peratus.
Pada masa yang sama katanya, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan 1.94 juta orang dengan kadar 37.4 peratus atau terdiri daripada lebih satu pertiga penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari.
Dari sudut pandangan permintaan buruh pada suku keempat 2023, Mohd Uzir memaklumkan, jawatan dalam sektor ekonomi mencatatkan peningkatan 2.1 peratus kepada 8.94 juta jawatan berbanding tahun lepas dengan jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan berkembang 2.1 peratus kepada 8.74 juta.
Berhubung permintaan buruh di negara ini Mohd. Uzir berkata, ia terus bertambah baik pada suku ini dengan pertumbuhan 0.6 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 31,100 jawatan.
Seiring perkembangan ekonomi pada suku keempat 2023, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja meningkat 0.5 peratus (ST3 2023: 0.6 peratus) berbanding suku yang sama tahun lepas untuk merekodkan nilai RM25,080 per pekerja.
Mengulas lanjut, berkenaan prestasi keseluruhan pasaran buruh bagi tahun 2023, katanya, anggaran awal berdasarkan data purata bulanan menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat 6.0 peratus kepada 16.31 juta orang pada tahun 2023 (2022: 3.1 peratus, 15.39 juta).
Walaupun menghadapi cabaran luaran pada 2023, permintaan buruh mengukuh dengan jawatan dalam sektor ekonomi meningkat kepada 8.94 juta dengan 126, 500 jawatan telah diwujudkan pada 2023 adalah yang tertinggi dalam siri masa dan melepasi bilangan yang direkodkan pada 2022 (116,700) dan 2021 (69,500).
Dari segi produktiviti buruh jelasnya, dengan pertumbuhan ekonomi yang positif sebanyak 3.7 peratus pada 2023, produktiviti buruh per pekerja meningkat 0.9 peratus daripada 5.4 peratus pada 2022 untuk merekodkan RM96,692 per pekerja (2022: RM95,858).
Melangkah ke tahun 2024, ekonomi negara dijangka bertambah baik didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran.
“Dalam keadaan tersebut, pasaran buruh dijangka kekal stabil pada suku akan datang, selari dengan perkembangan ekonomi semasa dan kemajuan teknologi yang terhasil daripada pelaburan bernilai tinggi yang disokong oleh inisiatif kerajaan yang berterusan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source