Rakyat Trustee Berhad (RTB) sebuah syarikat amanah yang memiliki pengalaman luas dalam bidang pengurusan harta pusaka dan wasiat bersedia membantu masyarakat dalam memberi kesedaran dan menyediakan wasiat lebih awal sebelum seseorang itu meninggal dunia untuk memberi kemudahan kepada waris.
Pengarah Urusannya, Faudzi Mt Din berkata, RTB memiliki tanggungjawab yang besar untuk mengurus dan mentadbir harta pusaka yang diamanahkan pelanggan agar ia dapat dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid yang telah ditetapkan.
Beliau yang memiliki pengalaman dalam bidang pewarisan lebih daripada 25 tahun sejak memulakan kerjayanya bersama Amanah Raya Berhad melihat, sekiranya mana-mana waris yang tidak menguruskan harta pusaka secara adil menurut hukum faraid dan melakukannya secara sewenang-wenang juga akan menyebabkan timbulnya isu pergaduhan antara waris yang terdiri daripada keluarga, adik beradik dan saudara-mara.
“Ini bukan sebab duit semata-mata, bukan sebab dia miskin atau kaya tetapi kerana pusaka yang tidak dibahagi mengikut hukum faraid akan menyebabkan berlakunya masalah dalam hubungan sesama waris.
“Jadi inilah tanggungjawab kami, jika tanpa kami, perkara yang sukar, bermasalah dan remeh-temeh itu tidak akan selesai. Kes pusaka orang Islam tidak akan selesai akhirnya.
“Ini juga peranan kami untuk membantu golongan yang susah dan memerlukan pembelaan daripada segi tuntutan harta pusaka dan juga memberi kefahaman yang lebih jelas kepada mereka yang kurang arif tentang perkara tersebut.
“Ia berkait dengan hukum agama dan tidak boleh dibuat mengikut cita rasa masing-masing,” katanya ketika ditemui Kosmo! dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh jelaskan tentang operasi perniagaan RTB dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan?
Faudzi: Kami menawarkan empat perkhidmatan iaitu wasiat, pusaka, hibah dan amanah.
Kami telah beroperasi sejak lebih dua tahun lalu dan untuk tahun ini kami lebih aktif bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan serta menambah jumlah pelanggan sedia ada.
Apakah keunikan RTB berbanding pesaing lain?
Kami beroperasi sepenuhnya secara digital dan kami adalah satu-satunya syarikat pemegang amanah pertama yang menjalankan perniagaan secara digital dalam negara ini.
Memandangkan sistem tersebut telah dipertingkat dan kini lebih canggih serta berjalan lancar, maka kami akan lebih aktif pada tahun ini kerana pengoperasian secara digital telah tersedia kepada pelanggan.
Apa bezanya membuat wasiat secara digital berbanding kaedah konvensional?
Dahulu jika pelanggan ingin membuat wasiat, segalanya perlu dibuat secara bersemuka dan melibatkan banyak dokumentasi yang mana segala dokumen juga perlu ditandatangani, pelanggan terpaksa mengisytiharkan segala harta dan waris yang terlibat kepada syarikat (pemegang amanah) atau ejen yang dilantik tanpa merahsiakan sebarang perkara.
Terlalu banyak dokumentasi, berisiko untuk berlaku kehilangan semasa dalam simpanan sama ada daripada pihak pelanggan atau syarikat amanah.
Selain itu, apa yang tidak menyenangkan bagi pelanggan adalah terpaksa mendedahkan segala rahsia harta termasuk jumlah anak, anak angkat jika ada, jumlah isteri (yang dirahsiakan) atau perkara lain yang agak privasi terpaksa didedahkan kepada kakitangan syarikat atau ejen.
Tetapi melalui digital dan sistem yang dibangunkan, pelanggan pada peringkat awal hanya membuat pendaftaran secara umum di pejabat, ketika pelanggan berada di rumah, dia boleh mengisi segala maklumat harta dan pelbagai lagi dalam sistem tersebut. Ia dirahsiakan daripada pengetahuan semua orang termasuk kami.
Selepas dia meninggal dunia barulah wasiat tersebut dibaca di hadapan waris.
Salah satu sebab harta pusaka terbeku yang kini dianggarkan bernilai lebih daripada RM90 bilion adalah kerana mereka gagal membuat wasiat atau melantik pentadbir sebelum mereka meninggal dunia.
Berapa ramai jumlah pelanggan sekarang dan nilai sasaran syarikat bagi tahun ini?
Buat masa sekarang, terdapat kurang daripada 5,000 pelanggan dan melalui perancangan promosi dan kerjasama dengan institusi perbankan, kami sasarkan jumlah pelanggan boleh bertambah kepada 35,000 hingga 40,000 pelanggan.
Apakah faktor kepada penambahan pelanggan tersebut?
Kami telah bekerjasama dengan Coop Bank Pertama (CBP) untuk membolehkan produk wasiat ditawarkan kepada pelanggan dan daripada situ objektif kami untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk membuat wasiat akan tercapai.
Kami juga sedang berbincang dengan beberapa buah bank lagi untuk tujuan yang sama dan kami menjangkakan ia terlaksana pada tahun ini juga.
Berapa jumlah dana yang diuruskan dan jumlah sasaran masa depan?
Kami memiliki satu lagi cabang perniagaan berkaitan amanah tunai dan nilai dana yang diuruskan adalah lebih daripada RM100 juta dan ia akan bertambah kepada RM500 juta tahun ini.
Boleh jelaskan tentang amanah tunai?
Ia adalah satu produk dan perkhidmatan yang memberi peluang kepada mana-mana individu menyimpan dana untuk ditadbir oleh RTB.
Penyimpan boleh memberi arahan kepada RTB untuk melaburkan dana mereka kepada mana-mana instrumen pelaburan yang berpotensi dan memberi pulangan stabil, tetap dan menjamin keuntungan kepada penyimpan.
Amanah tunai memberi kebaikan kepada waris apabila penyimpan meninggal dunia kerana ia telah dikecualikan daripada aset di bawah harta pusaka, maka waris boleh mengeluarkan simpanan tersebut dengan mudah dan segera tanpa melalui proses tuntutan harta pusaka.
Segmen manakah yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat?
Segmen wasiat mewakili 90 peratus dan bakinya adalah daripada pelbagai segmen perniagaan lain Bagi sasaran pada tahun depan kami melihat hasil daripada segmen amanah tunai akan berubah menjadi 70 peratus dan bakinya adalah sebanyak 30 peratus daripada segmen wasiat.
Adakah pelanggan bukan beragama Islam boleh mendapatkan khidmat RTB?
Kesedaran itu semakin tinggi bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi juga orang bukan Islam, malah golongan orang bukan Islam ini lebih terdorong untuk membuat wasiat. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source