Penduduk daerah Perak Tengah bertuah pada hujung minggu lalu apabila dapat melihat dengan lebih dekat aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Helikopter Super Lynx bersempena Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC).
Helikopter adalah salah satu aset yang disediakan oleh TLDM untuk tatapan lebih 3,000 pengunjung secara dekat sekali gus membolehkan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dengan pesawat tersebut.
Pengunjung juga berpeluang melihat aset, kelengkapan, teknologi dan senjata serta mendengar pengalaman pasukan TLDM seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Perasmian program CIMIC anjuran TLDM bersama komuniti Perak Tengah yang bermula seawal pukul 8 pagi di Dewan Serbaguna Seri Iskandar itu telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL), Laksamana Pertama Hj Jamaludin bin Hj Sairi yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd. Zaki Abd. Rahman.
Program CIMIC itu dilaksanakan bagi mengukuhkan penglibatan dan kerjasama awam dan tentera yang selari dengan Teras Keempat Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia 2021-2025.
Pelaksanaan karnival meliputi dua elemen utama CIMIC iaitu Medical Civic Assistance Program (MEDCAP) dan Engineering Civic Assistance Program (ENCAP).
Semasa memberikan ucapan perasmian program, Jamaludin berkata, CIMIC memberi penekanan terhadap hubungan masyarakat dengan tentera tidak dapat dipisahkan malah ia membawa kepada pengukuhan kerjasama rakyat secara menyeluruh melalui strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Program juga dimeriahkan dengan aktiviti sosial seperti senamrobik dan program Fun Run sejauh 3.2 kilometer yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.
Atur cara karnival juga dimeriahkan dengan pertandingan mewarna dan aktiviti Jom Berus Gigi yang disertai oleh kanak-kanak.
Sepanjang CIMIC berlangsung, pengunjung berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Antara kaunter pemeriksaan kesihatan yang dibuka buat komuniti Perak Tengah adalah seperti saringan kesihatan, konsultasi pakar, pemeriksaan pergigian, pemeriksaan mata, klinik kesihatan wanita, fisioterapi, perkhidmatan farmasi bergerak serta pameran kesihatan.
Ini termasuklah klinik kesihatan wanita untuk pemeriksaan kanser payudara dan ultrasound ginekologi oleh pakar obstetrik dan ginekologi Hospital Angkatan Tentera.
Menurut Markas Pangkalan Lumut TLDM, program itu juga adalah untuk memenuhi objektif yang digariskan dalam strategi HANRUH yang dapat menyebarluaskan fungsi serta peranan TLDM, Kor Kesihatan Diraja dan rakyat dalam memperkukuhkan pertahanan negara.
“Pelaksanaan karnival ini juga dilihat dapat mempertingkatkan kesedaran dan kepercayaan komuniti masyarakat di Perak Tengah terhadap Angkatan Tentera Malaysia,” menurut mereka.
Selain program karnival yang tertumpu di Dewan Serbaguna Seri Iskandar, warga Markas Pangkalan Lumut juga telah melaksanakan program gotong-royong di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Othmaniah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari dewan penganjuran.
Kemudahan seperti pejabat guru, pentas dataran perhimpunan, tiang bendera, kantin sekolah dan bilik darjah telah diselenggara dan dicat semula untuk manfaat para guru serta pelajar sekolah tersebut.
Sementara itu, Naib Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah, Mohamad Hosni Md. Senusi berterima kasih kepada pihak TLDM yang terlibat dalam program tersebut sekali gus dapat merapatkan hubungan warga sekolah itu terutama murid serta penduduk sekitar dengan pasukan tentera.
Program seharian itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti sekitar Perak Tengah seperti Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Majlis Daerah Perak Tengah, Jabatan Kerja Raya Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah, Polis Diraja Malaysia, Universiti Teknologi Mara Kampus Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas dan masyarakat setempat.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! dalam program sehari itu mendapati, pengunjung gembira dengan penganjuran pameran tersebut yang membolehkan mereka melihat sendiri dengan lebih dekat kecanggihan aset ketenteraan yang selama ini hanya dilihat di dalam internet.
Mereka dapat melihat dan memegang sendiri senjata, kelengkapan dan pakaian yang digunakan dalam operasi di medan tempur serta membeli cenderamata berkaitan angkatan TLDM.
Malah masyarakat Orang Asli berdekatan juga dibawa datang ke karnival tersebut supaya didedahkan kepada angkatan tentera tanah air.
Selain pameran statik helikopter Super Lynx TLDM, turut diadakan ialah pameran kerjaya oleh PASKAL, Markas Selam dan Peperangan Periuk Api, Depot Peluru dan Bahan Letupan Barat TLDM.
Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan kawad senyap TLDM dan Pancaragam Pusat TLDM sebagai simbolik berakhirnya karnival CIMIC di daerah Perak Tengah. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source