SETIAP kali melalui lebuh raya utama sekitar Lembah Klang, mata kita pasti tidak terlepas pandang iklan tentang Kepengerusian ASEAN yang dipaparkan di papan-papan iklan.
Iklan itu antara lain ingin memberitahu bahawa Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN, sebuah pertubuhan serantau dianggotai 10 negara di Asia Tenggara bermula Januari tahun ini.
Pasti ramai yang tidak ambil pusing dengan maklumat itu kerana tidak keterlaluan dikatakan ramai yang akan memberi reaksi bersahaja seolah-olah tidak ada apa yang perlu diberikan perhatian, jauh sekali untuk dibanggakan.
Ramai beranggapan peristiwa itu tidak memberikan kesan langsung kepada kehidupan seharian dan kabur mengenai signifikannya pelantikan itu kepada rakyat secara keseluruhannya.
Mengulas hal ini, Pakar Hubungan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, jika ingin mencari signifikan kepada pelantikan itu rakyat Malaysia perlu memahami beberapa fakta asas antaranya adalah Malaysia perlu menunggu lebih 10 tahun sebelum dilantik sebagai Pengerusi ASEAN.
Ini kerana pelantikan sebagai pengerusi kepada pertubuhan yang mempunyai populasi penduduk seramai 677 juta dibuat secara bergilir-gilir antara 10 negara anggota. Sejak ditubuhkan 31 Julai 1961 bermula dengan nama Persatuan Asia Tenggara, Malaysia pernah menduduki kerusi Pengerusi itu pada 1977, 1997, 2005, 2015.
“Dengan menjadi Pengerusi ASEAN, maknanya suara Malaysia itu akan menjadi lebih penting di pentas antarabangsa, ini kerana kita bukan saja membawa imej dan suara Malaysia tetapi membawa imej dan suara ASEAN.
“Sebelum ini jika kita hendak bersuara berkaitan polisi-polisi global seperti kestabilan serantau, suara Malaysia orang tidak berapa nak dengar, tetapi sebagai pengerusi ASEAN, yang mewakili blok ketiga terbesar dunia, suara Malaysia tidak lagi kecil, sebaliknya perlu dihormati termasuk oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS),” jelas beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Ahmad Martadha Mohamed
Manfaat
Kepengerusian ASEAN ini adalah satu peluang besar bagi Malaysia untuk menyerlahkan kebolehannya memimpin rantau ini bagi merealisasikan potensi ASEAN sepenuhnya.
Apa yang pasti tanggungjawab Kepengerusian ASEAN bukan sekadar imej dan suara semata-mata kerana manfaatkan begitu besar buat negara.
Jelas Dr. Ahmad Martadha, sebagai pengerusi Malaysia berpeluang memanfaatkan kelebihan ASEAN bagi menonjokan kelebihan Malaysia. Pendekatan serampang dua mata boleh dilakukan dalam pelbagai perbincangan perdagangan, lebih-lebih lagi membabitkan blok-blok perdagangan yang sukar diterokai sebelum ini.
Tanpa meminggirkan matlamat asal untuk memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN, sedikit sebanyak kedudukan sebagai pengerusi ASEAN memberikan sedikit kelebihan kepada Malaysia.
“Bukan mudah orang hendak ‘buka pintu’ untuk perbincangan perdagangan. Apabila Perdana Menteri pergi sebagai pengerusi ASEAN orang akan membuka pintu. Yang kedua, selain Malaysia membincangkan apa yang ASEAN boleh bantu atau negara tersebut boleh membantu ASEAN, sudah pastilah Malaysia juga akan bawa misi perdagangan untuk Malaysia.
“Jadi inilah yang saya katakan tadi kesan tak langsung. Apabila kita masuk dengan nama pengerusi ASEAN kita juga boleh mengambil kesempatan untuk menonjolkan dan mempromosikan negara kita.
“Sudah tentu dengan infrastruktur negara yang bagus, sistem tadbir urus kita yang tinggi, tahap transparensi kita yang tinggi dan indeks rasuah semakin baik dan kebebasan bersuara, semua ini memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk datang membuat pelaburan bukan sahaja atas nama Malaysia tetapi ASEAN. Ini yang boleh diambil kesempatan oleh Malaysia dalam ASEAN.
“Jadi bila pelabur asing datang, peluang pekerja akan meningkat dan sudah tentu taraf ekonomi lebih meningkat, nilai mata wang yang lebih baik dan faedah-faedah lain yang akan datang kepada masyarakat,” jelasnya.

Malaysia menyusun lebih 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai sepanjang tahun ini.
Untuk rekod, potensi besar ASEAN dapat dilihat dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berjumlah AS$3.8 trilion berbanding AS$2.5 trilion pada 2015, manakala perdagangan serantau AS$3.5 trilion berbanding AS$2.3 trilion pada 2015.
Masih banyak yang boleh dilakukan ASEAN bagi melonjakkan angka tersebut, lebih-lebih lagi dengan perdagangan intra-ASEAN pada kadar hanya 23-25 peratus pada masa ini. Pakar-pakar ekonomi percaya, apabila perdagangan intra-ASEAN meningkat, perdagangan bagi Malaysia juga bakal meningkat sama.
Mengulas isu yang sama, Penganalisis Sosiopolitik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, antara lain impak yang boleh dijangkakan kepada rakyat Malaysia adalah peluang perniagaan digital yang lebih luas dan akses pasaran serantau lebih besar.
“Dengan status blok ekonomi kelima terbesar dunia dan pasaran digital bernilai USD 1 trilion sudah pasti menjanjikan peluang besar kepada penduduk serantau termasuk Malaysia.
“Selain itu dengan peningkatan pelaburan antarabangsa dan pengukuhan nilai mata wang serantau akan memberikan tempias kepada rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Oleh sebab itu katanya, Malaysia berhasrat meninggalkan warisan menjadikan ASEAN yang lebih bersatu dan berdaya tahan, mempunyai sistem kewangan serantau yang kukuh, ekosistem digital yang maju dan model tadbir urus serantau yang efektif.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Cabaran
Selain perdagangan yang sentiasa menjadi agenda utama ASEAN, dalam tempoh kepengerusian ini Malaysia bakal menempoh cabaran-cabaran yang tidak kurang hebat dalam merealisasikan impian kesatuan itu.
Era kemunculan kepimpinan baharu, muda di beberapa negara anggota, pertikaian di Laut China Selatan yang semakin genting dan pengharmonian perdagangan digital menuntut kebijaksanaan daripada Malaysia. Bagaimanapun, Dr. Ahmad Martadha yakin Malaysia mempunyai kekuatan mendepani cabaran tersebut
Dalam konteks kepimpinan baharu, katanya, sudah pasti kepimpinan baharu mempunyai kepimpinan yang berbeza berbanding kepimpinan sebelum ini.
“Tapi bagi saya, kekuatan Malaysia mendepani cabaran ini terletak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa membawa suara-suara Malaysia iaitu kepentingan perdamaian, kesaksamaan, memastikan keadilan sejagat dan hak hak kemanusiaan diberikan keutamaan. Ini adalah nilai-nilai universal turut menjadi keutamaan kepimpinan baharu.
“Selain itu, keputusan Perdana Menteri melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN langkah diplomasi bijak bagi mendapatkan keyakinan kepimpinan baharu dan juga sokongan negara-negara sekeliling kerana suara Thaksin sangat dekat dengan negara di sekeliling Thailand seperti Kemboja, Laos dan Vietnam,” jelasnya.

Merapatkan jurang digital antara negara anggota antara misi ASEAN.
Dr. Ahmad Martadha berkata, dalam mendepani jurang digital yang lebar antara negara anggota, falsafah keterangkuman yang dipraktikkan Malaysia akan membantu memperbetulkan kekurangan itu.
“Pastilah ini akan menjadi antara yang akan ditekankan oleh Perdana Menteri supaya keterangkuman itu juga akan memberi perhatian kepada negara yang agak ke belakang dari segi ekonomi, teknologi dan jurang digital yang lebar,” katanya.
Cabaran berkaitan keselamatan serantau khususnya pertikaian di Laut China Selatan juga diyakini mampu ditangani dengan baik kerana Malaysia dengan jelas telah menyatakan bahawa apa sahaja tuntutan berkaitan kedaulatan sesebuah negara perlulah dibuat di dalam mahkamah
“Ini penting supaya tidak ada konfrontasi. Pendekatan diplomatik Malaysia sangat dihormati kerana kita sering menekankan kesederhanaan dan kehormatan. Pendekatan ini sentiasa menjadi pegangan Malaysia apabila menjadi orang tengah dalam sebarang konflik seperti di selatan Thailand dan Myanmar,” ujarnya.
Prestasi Semasa
Hampir sebulan berlalu, Malaysia telah menampakkan dengan jelas kepimpinannya dalam meneraju ASEAN. Suara-suara ASEAN di pentas antarabangsa semakin jelas dan ini dapat dilihat semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos Switzerland baru-baru ini.
Malah, suara-suara ASEAN juga jelas dalam menangani isu sejagat seperti isu Palestin-Israel termasuk genjatan senjata dan pembangunan semula Gaza.
Dr. Ahmad Martadha berkata, walaupun secara rasmi Kepengerusian ASEAN Malaysia bermula 1Januari lalu, namun persiapan dan pelaksanaan telah dilakukan sejak tahun lepas.
“Saya tengok memang kita sudah bersedia. Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN telah berlangsung di Langkawi dan di Johor. Dalam empat lawatan Perdana Menteri suara ASEAN turut kedengaran. Jadi saya merasakan bahawa Malaysia memang telah meletakkan ASEAN di persada antarabangsa melalui peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN,” ujarnya.
Beliau yakin dengan dengan pengalaman diplomatik yang luas dan rekod cemerlang dalam penyelesaian konflik serantau, Malaysia berada pada kedudukan unik untuk memacu ASEAN ke era baharu kemakmuran dan kestabilan serantau.
Oleh itu, selepas ini jika melihat iklan-iklan di papan tanda tentang Kepengerusian ASEAN, kita perlu berasa bangga dan sedar tugas besar yang sedang dipikul negara dan pemimpin dalam merealisasikan impian, harapan semua pihak dan penduduk di ASEAN.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source