[ad_1]
PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperincikan maksud sebenar pencarian pesawat Malaysia Airlines, MH370 oleh syarikat kapal robotik Ocean Infinity bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau pembayaran tanpa bukti kukuh.
Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kerajaan perlu menentukan sama ada rakaman video serpihan di dasar laut sudah mencukupi untuk dianggap sebagai penemuan rasmi atau serpihan utama termasuk kotak hitam perlu dibawa ke permukaan terlebih dahulu.
“Semua perkara ini perlu dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian, supaya Malaysia tidak membayar jumlah yang besar tanpa mendapatkan bukti yang sahih dan lengkap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, sebuah firma berpangkalan di Britain dan Amerika Syarikat dilaporkan menghantar kapal paling canggih seumpamanya daripada segi teknikal untuk menjelajah Lautan Hindi bagi mencari pesawat MH370.
Pencarian terbaharu itu dilakukan selepas pesawat tersebut hilang 11 tahun lalu semasa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China.
Nik Ahmad Huzlan berkata, kerajaan perlu memiliki strategi komunikasi yang tersusun dalam mengendalikan sebarang perkembangan baharu.
“Jika penemuan dibuat, bagaimana ia akan diumumkan kepada keluarga mangsa dan masyarakat umum? Tanpa pelan komunikasi yang tersusun, akan timbul pelbagai spekulasi dan kekeliruan di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, misi pencarian kali ini dibuat berasaskan teori saintifik, bukan sekadar spekulasi atau teori konspirasi.
Katanya, teori terbaharu yang digunakan adalah hasil kajian seorang jurutera aeroangkasa dari England, Richard Godfrey yang menggunakan teknologi Weak Signal Propagation Report (WSPR) bagi mengesan laluan terakhir pesawat.
“Kajian ini telah dikongsi secara terbuka di internet dan telah dinilai oleh para saintis seluruh dunia.
“Setakat ini, ia mendapat sokongan kerana berasaskan data saintifik yang kukuh. Keyakinan Ocean Infinity juga menunjukkan syarikat itu telah membuat penilaian risiko yang teliti.
“Jika mereka gagal, mereka tidak akan dibayar. Ini membuktikan mereka yakin dengan teori serta teknologi yang digunakan,” jelasnya.
Nik Ahmad Huzlan berkata, Ocean Infinity menawarkan untuk menjalankan pencarian secara ‘no find, no fee’, yang mana Malaysia perlu membayar AS$70juta (RM315 juta) jika serpihan pesawat ditemui. Jika tidak, tiada bayaran dikenakan.
“Ini adalah tawaran yang telah diumumkan secara terbuka dan bukan sekadar khabar angin,” katanya.
Beliau berkata, Ocean Infinity telah mengerahkan kapal pencarian yang dilengkapi teknologi canggih, termasuk dron bawah air beresolusi tinggi yang mampu menyelam ke dasar laut pada kedalaman 14,000 kaki iaitu bersamaan tinggi Gunung Kinabalu, Sabah. – UTUSAN
[ad_2]
Source
[html_block id=”13611″]