Anda mungkin pernah mendengar atau menyaksikan ada pasangan suami isteri berjaya membina rumah tangga yang bahagia hasil perkenalan melalui aplikasi mencari pasangan atau jodoh (online dating).
Ini menunjukkan aplikasi sedemikian berupaya memainkan peranannya sebagai medium baharu perhubungan dan perkenalan selari dengan kecanggihan teknologi.
Namun awas! Jika jatuh ke tangan yang salah, mana-mana aplikasi online dating boleh berubah watak menjadi jerat kesengsaraan.
“Secara umum, applikasi online dating tidak ada masalah sebenarnya, yang bermasalah ialah pengguna.
“Ia menjadi bahaya apabila ada yang mengambil kesempatan dan menyalahguna teknologi,” tegas perunding keselamatan dan pertahanan diri, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir.

Saiful Hamiruzzaman
Mengulas lanjut, Saiful Hamiruzzaman berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila berlaku trend mudah mempercayai profail palsu dalam kalangan pengguna applikasi itu.
Katanya, kenaifan itu mengundang kes penipuan cinta (love scam) dan pemerasan seksual (sextortion) yang sangat membimbangkan kerana mengakibatkan kerugian kira-kira RM380 juta setahun.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes love scam dan sextortion pelanggannya yang mengakibatkan kerugian RM2.6 juta.
Wanita berkenaan telah membuat 48 kali pemindahan wang kepada kenalan online dating dan hanya meminta bantuan dan membuat laporan polis selepas akaun banknya kering.
“Apabila ditanya kenapa tidak bertindak awal, dia mengakui sangat takut dan malu kerana diperas ugut. Jika tidak bagi wang, gambar dan video intimnya akan disebarkan.
“Kes sebegini biasa berlaku, baik lelaki dan wanita, nak buat laporan awal mereka malu kerana libatkan maruah diri,” katanya.

Mangsa love scam mesti ketepikan malu dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa.
Saiful Hamiruzzaman yang juga Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) berkata, walaupun laporan polis dibuat, usaha menangkap sindiket yang membuat ugutan sangat sukar kerana mereka biasanya beroperasi di negara lain.
Katanya, apa yang boleh dilakukan ialah meminta bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan gambar atau video intim sekiranya dimuat naik ke laman web.
Jelasnya, tidak semua gambar dan video itu diserahkan secara sukarela kerana ada juga kes kamera dan speaker telefon pintar mangsa digodam dan dikawal pihak ketiga tanpa sedar.
“Bagi golongan kanak-kanak pula, penjenayah biasanya tidak membuat sextortion selepas memperdayakan mangsa menyerahkan gambar atau video intim.
“Sebaliknya gambar dan video itu dijual kepada laman web atau melalui Telegram,” katanya.
Ditanya, adakah langkah menyekat aplikasi online dating merupakan pilihan terbaik untuk melindungi orang ramai, Saiful Hamiruzzaman berkata terdapat kekangan untuk berbuat demikian.
Katanya, ini kerana aplikasi tersebut tertakluk kepada dasar dan peraturan ditetapkan penyedia platform seperti Google Play dan Apple Store yang dimiliki syarikat asing dan beroperasi di luar negara.
Sebaliknya kata beliau, pendekatan terbaik ialah melalui program pendidikan dan advokasi di semua peringkat umur bermula dari tadika hinggalah warga emas.
“Pendidikan sivik siber mesti diterapkan seawal sekolah rendah, insyaAllah kita dapat didik anak-anak kita menjadi pengguna teknologi yang bijak,” katanya.
Untuk rekod, walaupun tiada kawalan secara langsung ke atas Google Play & Apple Store, MCMC tetap melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran internet di negara ini bebas daripada kandungan melanggar undang-undang termasuk yang tidak bermoral.
Pada 2024, sebanyak 13,805 kandungan jelik, 1,146 kandungan lucah, 144 kandungan mengancam serta 34 kandungan sumbang di media sosial diturunkan penyedia perkhidmatan dengan permohonan MCMC.
Kementerian Komunikasi melalui MCMC juga telah melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian pada 21 Januari 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke seluruh negara untuk mendidik masyarakat.

Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Berikut adalah tips keselamatan penggunaan aplikasi online dating yang dikongsi Saiful Hamiruzzaman:
• Kesedaran sangat penting di dalam memuat turun aplikasi online dating. Perlu peka kepada keperluan aplikasi tersebut. Buat kajian kebaikan dan keburukan aplikasi.
• Sentiasa mencegah daripada menjadi mangsa. Dapatkan tips keselamatan online dating dari MCMC, polis dan NGO berkaitan seperti KLCPPA.
• Jika terdapat perkara mencurigakan semasa temu janji dalam talian atau secara bersemuka, elakkan daripada meneruskan perbualan atau menuruti arahan atau ajakan pasangan maya. Mungkin mereka berniat untuk melakukan perkara yang buruk atau anda akan diugut untuk sesuatu yang berbentuk seksual.
• Apabila terpedaya atau tertipu dan dijadikan mangsa oleh pasangan online dating, jangan berdiam diri atau berahsia. Sila berkongsi maklumat dengan rakan yang percayai sebelum menjadi lebih parah.
• Buat laporan polis atau MCMC apabila melibatkan data dan gambar peribadi yang boleh disebarkan untuk tujuan tertentu, ancaman nyawa, tekanan emosi yang mungkin boleh menyebabkan berlaku perkara buruk sama ada kepada anda atau keluarga.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source