[ad_1]
ALOR SETAR – Dua gol dari pemain naturalisasi negara, Paulo Josue membantu KL City FC mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, KDA FC berpeluang mendapatkan gol sulung seawal minit ke-3 apabila bola terlucut dari dakapan penjaga gol KL City, Hafizul Hakim menyebabkan bola bergolek ke kaki penyerang KDA FC dari Serbia, Milos Gordic.
Minit ke-24, Milos akhirnya memecah kebuntuan untuk menghasilkan gol pertama buat Kedah apabila melepaskan rembatan kaki kiri dari bahagian kanan pintu gol untuk menewaskan Hafizul Hakim.
Hasrat KDA FC untuk masuk ke bilik persalinan dengan tenang pada separuh masa pertama tidak kesampaian setelah Josue menyamakan kedudukan buat KL City apabila dia melakukan tandukan dari dalam kotak penalti, hasil hantaran lintang pemain pertahanan, Kamal Azizi pada minit ke-45.
Memasuki babak kedua, usaha berganda pasukan pelawat kemudiannya membuahkan hasil apabila Josue berjaya menambah jaringan menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit 61.
Sang Kenari bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Fadzrul Danel yang masuk bagi menggantikan Milos Gordic, melepaskan rembatan bak peluru dari luar kotak penalti, tiga minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Gol kemenangan yang dicari KL City akhirnya tiba juga menerusi pemain tengah gantian, Sean Gan Gianelli dengan dia bijak memperdaya pemain pertahanan tuan rumah sebelum menyungkit bola dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Ifwat pada minit ke-85. – KOSMO! ONLINE
[ad_2]
Source
[html_block id=”13611″]